Thursday, 9 March 2017

LAMAN ISU 4: UNSUR-UNSUR KHURAFAT DALAM FILEM (ISU-ISU KONTEMPORARI)

UNSUR-UNSUR KHURAFAT DALAM FILEM

Khurafat ialah suatu kepercayaan dan perbuatan karut yang dianggap mempunyai hubungan dengan agama Islam sedangkan pada hakikatnya ia sebenarnya dilarang oleh agama Islam kerana bertentangan dengan konsep tauhid dan syariat dalam Islam. Selain itu, hal ini dapat memesongkan akidah kita sehingga boleh mengakibatkan kita menyekutukan Allah.

Antara contoh perbuatan khurafat atau karut yang diamalkan oleh masyarakat kita pada zaman ini ialah mempercayai azimat yang boleh menahan sesuatu bahaya kepada seseorang, mempercayai binatang seperti burung boleh membawa tuah atau sial, membuang ancak bagi menghalau hantu dan mengunjungi kubur yang dianggap keramat. Pada masa kini, kita dihidangkan dengan pelbagai bentuk hiburan termasuklah perfileman yang berunsurkan hantu dan seram. Hal ini tidak kira sama ada melalui media cetak mahupun media elektronik. Pelbagai ciptaan atau rekaan alat-alat komunikasi yang serba canggih turut menambahkan lagi sumber hiburan yang sedia ada.

Namun, bentuk-bentuk hiburan sebegini dapat mengundang kealpaan dan memberi kesan negatif kepada masyarakat. Lambakan drama dan filem yang berunsurkan tahyul, bidaah dan khurafat kini mula mendapat kritikan daripada masyarakat yang prihatin dengan perkembangan ini. Ada yang mula merasai keperluan untuk menghadkan pengeluaran drama dan filem sebegini, kerana dikhuatiri mampu mendatangkan kesan yang negatif kepada masyarakat terutama golongan muda-mudi. 

Sehinggakan mantan perdana menteri, Tun Dr.Mahathir sendiri memberi pendapat bahawa lambakan filem dan drama sebegini harus dikaji akan baik buruknya. Antara filem yang mengandungi unsur-unsur khurafat ialah Munafik, Jangan Pandang Belakang, Rasukan Ablasa, Histeria, Syaitan, Maut, Akhirat, Zombi Kampung Pisang, Congkak, Pontianak Harum Sundal Malam, Waris Jari Hantu. Manakala, drama yang berunsurkan khurafat ialah Puaka Niyang Rapik, Anak Betong, Bilik 13, Seram, Susuk, Kliwon, Kekasihku Seru dan banyak lagi.

Ciri-Ciri Khurafat dan Tahayul:

1.Cerita yang berunsur mitos dan lagenda, rekaan, dongeng, khayalan atau kepercayaan karut.

2.Cerita yang tidak didasarkan pada nas-nas syarak sama ada al-Quran atau hadis

3.Cerita berbentuk pemujaan dan permohonan kepada ‘makhluk halus’ bagi tujuan memudaratkan orang lain dan menyeleweng daripada akidah Islam

4.Penggunaan objek-objek tertentu seperti kubur, pokok dan sebagainya bagi tujuan tertentu

5.Cerita yang berunsur negatif dari segi akidah dan syariat Islam


LAMAN ISU 3: HIBURAN MELAMPAU (ISU-ISU KONTEMPORARI)

HIBURAN MELAMPAU

Pada dasarnya, Islam mengharuskan hiburan kerana hiburan menjadi sebahagian daripada fitrah kehidupan manusia. Hal ini berdasarkan kepada hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada Aisyah r.a. yang bermaksud:
“Sesungguhnya Abu Bakar masuk kepadaku, sedang disampingku ada dua gadis hamba daripada orang Ansar sedang menyanyi dengan nyanyian yang dinyanyikan oleh orang Ansar pada hari peperangan Bu’ath. Aku berkata, kedua-dua orang ini bukanlah penyanyi. Abu Bakar berkata, adakah di rumah nabi ini terdapat serunai syaitan? Sedangkan pada hari ini adalah hari raya aidilfitri. Rasulullah bersabda, wahai Abu Bakar, sesungguhnya setiap kamu ada hari rayanya dan ini adalah hari raya kita.” (Ibnu Majah)
Berdasarkan hadis di atas, jelaslah bahawa hiburan yang menghiburkan jiwa serta menenangkan hati diharuskan oleh Islam. Hal ini dinyatakan oleh al-Syeikh Yusuf al-Qardhawi bahawa antara hiburan yang dapat menghibur jiwa, menenangkan hati serta menyedapkan telinga ialah nyanyian. Hiburan nyanyian ini diharuskan oleh Islam dengan syarat ia tidak dicampuri dengan kata-kata kotor, keji atau yang boleh merangsang kepada perbuatan dosa.

Beberapa garis panduan tentang hiburan telah dikeluarkan seperti berikut :
1. Program hiburan:
- Bermatlamatkan kebaikan dan kesejahteraan
- Diadakan di tempat yang bersesuaian supaya tidak menggangu ketenteraman awam dan orang lain
- Mengambil kira masa yang bersesuaian dengan sensitiviti masyarakat dan ajaran Islam
- Tidak disertai oleh perbuatan-perbuatan haram atau maksiat
- Tidak mengandungi acara yang bersifat provokasi yang boleh menimbulkan sikap prejudis atau permusuhan
- Tidak mengandungi unsur-unsur pemujaan atau penyembahan yang bertentangan dengan ajaran Islam



2. Persembahan muzik:
  • Tidak menimbulkan gerak-geri liar
  • Tidak mendorong kepada perbuatan maksiat
  • Tidak melalaikan



3. Lirik:
  • Kalimah syahadah dalam bahasa Arab hendaklah disempurnakan
  • Tidak mengandungi sebutan yang boleh membangkitkan nafsu shahwat, perkara lucah, menggambarkan arak dan memberikan perangsang melakukan dosa
  • Tidak mengandungi unsur-unsur pemujaan makhluk dan peribadi
  • Tidak mengandungi ungkapan-ungkapan yang melanggar adab kesopanan dalam Islam
  • Tidak mengandungi ungkapan yang melanggar akidah dan syariat Islam
  • Tidak mengandungi unsur menghina, mengaib, mencaci, memfitnah dan seumpamanya


4. Persembahan artis
  • Berpakaian kemas, sopan serta tidak memakai pakaian yang boleh mendedahkan diri kepada eksploitasi penonton dan tidak bercanggah dengan kehendak Islam.
  • Tidak mengucapkan kata-kata yang menggalakkan perbuatan maksiat atau menghina agama Islam

5.Persembahan tarian:
  • Tidak bertujuan pemujaan atau penyembahan
  • Tidak dipersembahkan dengan gaya yang memberahikan
  • Gerak tari yang dipersembahkan tidak menimbulkan fitnah 





KEBAIKAN DAN KEBURUKKAN HIBURAN TERLAMPAU


             KEBAIKAN:

1. Menjadikan muzik sebagai semangat untuk mereka mengulangkaji pelajaran.

2. Muzik dan filem sama ada di televisyen atau di pawagam layak digambarkan sebagai sumber inspirasi kepada masyarakat terutamanya belia.

3. Menjadikan hiburan seperti muzik, mainan dan seumpamanya sebagai satu cara untuk menghilangkan tekanan atau menenangkan jiwa.

4. Hiburan dapat mengeratkan silaturrahim antara satu sama lain.

KEBURUKAN:
~Hiburan melampau boleh menyebabkan kita lalai dan leka
~Hiburan boleh menyebabkan sebagai seorang muslim melambat-lambatkan  waktu solat
~Hiburan juga menyebabkan kita terpesong dari landasan agama
~Hiburan boleh menyebabkan kita terikut-ikut dengan budaya kuning


KESIMPULAN:  

  • Hiburan adalah perbuatan, aktiviti dan sebagainya bertujuan untuk menghiburkan, menyenangkan, mententeramkan hati dan diri, itulah pentakrifan secara umum tentang hiburan. Sekiranya kita melihat kepada negara kita Malaysia khususnya, hiburan telah berkembang luas dan telah mengambil tempat yang cukup luas dalam cabang sosial. Kita juga dapat melihat perkembangan dalam media massa tidak kira media cetak dan media elektronik. Perkara inilah yang mendatangkan kebimbangan dalam kalangan umat islam di Malaysia.

  • Melihat dari kajian pelbagai pihak bahawa hiburan seperti ini secara terang-terangan membawa keruntuhan akhlak umat islam, juga mendorong kepada masalah sosial. Dapat kita buktikan dengan isu-isu yang berlaku baru-baru ini seperti kes pembuangan bayi yang sudah tentu berpunca dari perbuatan zina, kes yang berkaitan dengan penyalahgunaan dadah, minum arak dan sebagainya.

  • Semua ini berpunca dari hiburan yang tidak terkawal walaupun sebahagian orang melihatnya kecil. Sebagai contoh menonton rancangan realiti di kaca tv, ramai dikalangan masyarakat beranggapan ia sebagai perkara biasa, tetapi malangnya mereka tidak mengetahui aplikasinya terhadap moral dan akhlak. Secara ringkasnya, banyak keburukkan dan impikasi yang negatif melalui hiburan melampau termasuklah merosakkan agama, bangsa dan budaya melayu itu sendiri. Bagi remaja yang “asyik” dalam alam hiburan, implikasi yang akan berlaku akan membimbangkan agama dan negara pada masa yang akan datang.

LAMAN ISU 2: PENYEBARAN FITNAH (ISU-ISU KONTEMPORARI)

PENYEBARAN FITNAH


Perbualan antara Rasulullah SAW dengan seorang sahabat, Rasulullah SAW ditanya, “wahai Rasulullah, apakah itu ghibbah?” Lalu jawab Baginda, “menyebut sesuatu yang tidak disukai oleh saudaramu di belakangnya!” Kemudian Baginda ditanya lagi, “bagaimana sekiranya apa yang disebut itu benar?” Jawab Baginda, “Kalau sekiranya apa yang disebutkan itu benar, maka itulah ghibbah, tetapi jika perkara itu tidak benar, maka engkau telah melakukan buhtan (pembohongan besar).”      (Muslim, Abu Daud dan At-Tarmizi)
Hadis tersebut jelas menunjukkan kepada kita bahawa pembohongan atau pun ghibbah (menyebut keburukan orang lain walaupun benar) itu ialah sesuatu perkara yang dikutuk di dalam Islam. 


Fitnah berasal daripada perkataan Arab yang membawa maksud kekacauan, bencana, cubaan dan penyesatan adalah dilarang sama sekali dalam Islam. Hal ini kerana, fitnah mampu mendatangkan kesan buruk ke atas agama dan masyarakat dan boleh membawa kepada kehancuran sesebuah negara.
               
Pada masa kini,isu fitnah ini bukan sahaja berbentuk percakapan antara dua pihak namun juga dalam bentuk penulisan. Misalnya, dalam komunikasi massa terutamanya dalam blog juga turut wujudnya fitnah. Mana tidaknya, apa yang ditulis oleh orang tidak bertanggungjawab ini boleh menghancurkan perpaduan kaum dan keharmonian yang telah lama terjalin pada suatu ketika dulu. 


Fitnah merupakan satu perbuatan yang terkutuk dan sangat dicela oleh mana-mana agama. Fitnah juga adalah satu tuduhan palsu yang direka-reka terhadap seseorang bertujuan untuk menjatuhkan maruah, nama baik atau kedudukan seseorang. Sebagaimana maklum, fitnah juga boleh dilakukan secara lisan ataupuyn bertulis, dan kini ia juga boleh dilakukan melalui laman sosial. Sifat fitnah sering dilakukan di alam nyata ataupun melalui laman sosial adalah sama sahaja dan kesannya juga adalah sama.


Antara fitnah yang selalu terjadi ialah fitnah siber. Internet diakui sebagai medium ideal dalam menggalakkan proses demokrasi. Namun, dalam masa yang sama, internet boleh menjadi medium penyebaran fitnah  sekiranya ada pengguna yang terus menyalahgunakannya. Fitnah Siber berlaku dan tersebar dalam pelbagai saluran media massa dan elektronik, bahkan ianya semakin berleluasa melalui laman-laman sesawang atau blog serta laman-laman sosial seperti facebook dan twitter.


Fitnah yang dicetuskan tersebar dengan cepat, meluas dan mudah tanpa sebarang sekatan yang akhirnya mencetuskan huru-hara dan ketidakstabilan dalam masyarakat. Punca berlakunya fitnah ini kerana maklumat dari internet dan sistem telekomunikasi seperti khidmat pesanan ringkas (SMS) telah dijadikan sebagai sumber informasi utama masyarakat kita pada hari ini. Seterusnya, sikap mudah menerima berita dan menyebarkannya tanpa usul periksa samaada maklumat yang diterima benar atau sebaliknya. Inilah sikap yang amat ditegah oleh Islam.


Oleh itu, antara langkah yang boleh diambil untuk mengatasi masalah fitnah adalah mewujudkan sebuah badan khas yang menyelenggara atau menapis segala paparan di laman sesawang. Hal ini kerana laman sesawang telah menjadi medium utama pada masa kini untuk menyebarkan fitnah kerana sifatnya yang terbuka dan bebas berbanding media cetak. Apatah lagi konsep kebebasan bersuara dan hak asasi manusia yang diamalkan tanpa sekatan dalam internet itu sendiri membolehkan sesiapa sahaja menghantar atau menyiarkan sebarang maklumat sama ada benar atau tidak. Seandainya sebuah badan penapis atau pemantau diwujudkan, cerita-cerita yang tidak sepatutnya dapat dihalang untuk disiarkan, seterusnya mampu mengurangkan masalah fitnah.


Kesimpulanya, fitnah bukan sahaja banyak membawa keburukan dalam kehidupan bermasyarakat bahkan ianya merupakan dosa besar. Pembuat dan penyebar fitnah disifatkan Islam sebagai sekeji-keji manusia. Fitnah juga berbahaya kepada perhubungan kaum dimana jika fitnah tersebut melibatkan perkauman ia boleh mengakibatkan ketegangan kaum tercetus.


HUKUM FITNAH

  • Fitnah merupakan suatu kebohongan besar yang sangat merugikan dan termasuk dalam dosa besar. Oleh itu, Islam melarang umatnya memfitnah sebab fitnah hukumnya adalah haram.




LAMAN ISU 1: PERKAUMAN (ISU-ISU KONTEMPORARI)

PERKAUMAN


ü      Isu-isu perkauman bermaksud isu-isu yang melibatkan hubungan antara kaum dalam aspek penggunaan bahasa, dimensi agama, tingkah laku sosial, perlakuan fizikal, sektor pekerjaan, perbuatan buli, penulisan dan literatur, rasisme dan seumpamanya.

ü Isu-isu perkauman dan isu-isu sensitif boleh menggugat perpaduan dan kesepakatan antara kaum, mewujudkan huru-hara dan ancaman ketenteraman awam, mencetuskan konflik dan perselisihan kaum dan konflik antara agama, mewujudkan suasana prejudis, prasangka, dan hubungan tidak baik antara kaum, menghilangkan semangat toleransi, menimbulkan suasana tidak aman serta mengurangkan persefahaman bangsa berbilang kaum. Kesemua elemen-elemen negatif ini akan mengganggu-gugat keharmonian hubungan antara kaum sehingga menjejaskan perpaduan, menghilangkan kesedaran tentang kepentingan hubungan antara kaum, merencatkan keselesaan rakyat pelbagai kaum agar dapat hidup dengan harmoni dan mengusutkan hubungan interaksi antara agama dan budaya.

ü  Islam menggariskan dua perkara berikut demi untuk kebaikan Negara:

a)Mengadakan usaha untuk mengukuhkan keselamatan dan
      kesejahteraan masyarakat.

b)Mengelakkan sebarang perkara atau tindakan yang boleh menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan negara.


ü  Sekiranya konflik tidak diuruskan dan diselesaikan dengan baik, pertikaian sedemikian boleh menjadi lebih rumit dan mampu memecah-belahkan kesejahteraan dalam kehidupan masyarakat majmuk.







KENALI KAMI

Blog ini adalah mengenai dakwah berkaitan konsep hubungan sesama manusia. Antaranya, konsep persaudaraan, konsep kejiranan, batas-batas pergaulan dan intergrasi budaya dalam perayaan. Selain itu, terdapat juga isu-isu kontemporari seperti perkauman, penyebaran fitnah, hiburan melampau dan unsur-unsur khurafat dalam filem.

LAMAN ISU (KONSEP HUBUNGAN SESAMA MANUSIA)


1. KONSEP KEJIRANAN

2. PERSAUDARAAN

3. BATAS-BATAS PERGAULAN

4. INTEGRASI BUDAYA DALAM PERAYAAN

LAMAN ISU (ISU-ISU KONTEMPORARI)



1. PERKAUMAN

2. PENYEBARAN FITNAH

3. HIBURAN MELAMPAU

4. UNSUR-UNSUR KHURAFAT DALAM FILEM