LAMAN ISU 2: PENYEBARAN FITNAH (ISU-ISU KONTEMPORARI)

PENYEBARAN FITNAH


Perbualan antara Rasulullah SAW dengan seorang sahabat, Rasulullah SAW ditanya, “wahai Rasulullah, apakah itu ghibbah?” Lalu jawab Baginda, “menyebut sesuatu yang tidak disukai oleh saudaramu di belakangnya!” Kemudian Baginda ditanya lagi, “bagaimana sekiranya apa yang disebut itu benar?” Jawab Baginda, “Kalau sekiranya apa yang disebutkan itu benar, maka itulah ghibbah, tetapi jika perkara itu tidak benar, maka engkau telah melakukan buhtan (pembohongan besar).”      (Muslim, Abu Daud dan At-Tarmizi)
Hadis tersebut jelas menunjukkan kepada kita bahawa pembohongan atau pun ghibbah (menyebut keburukan orang lain walaupun benar) itu ialah sesuatu perkara yang dikutuk di dalam Islam. 


Fitnah berasal daripada perkataan Arab yang membawa maksud kekacauan, bencana, cubaan dan penyesatan adalah dilarang sama sekali dalam Islam. Hal ini kerana, fitnah mampu mendatangkan kesan buruk ke atas agama dan masyarakat dan boleh membawa kepada kehancuran sesebuah negara.
               
Pada masa kini,isu fitnah ini bukan sahaja berbentuk percakapan antara dua pihak namun juga dalam bentuk penulisan. Misalnya, dalam komunikasi massa terutamanya dalam blog juga turut wujudnya fitnah. Mana tidaknya, apa yang ditulis oleh orang tidak bertanggungjawab ini boleh menghancurkan perpaduan kaum dan keharmonian yang telah lama terjalin pada suatu ketika dulu. 


Fitnah merupakan satu perbuatan yang terkutuk dan sangat dicela oleh mana-mana agama. Fitnah juga adalah satu tuduhan palsu yang direka-reka terhadap seseorang bertujuan untuk menjatuhkan maruah, nama baik atau kedudukan seseorang. Sebagaimana maklum, fitnah juga boleh dilakukan secara lisan ataupuyn bertulis, dan kini ia juga boleh dilakukan melalui laman sosial. Sifat fitnah sering dilakukan di alam nyata ataupun melalui laman sosial adalah sama sahaja dan kesannya juga adalah sama.


Antara fitnah yang selalu terjadi ialah fitnah siber. Internet diakui sebagai medium ideal dalam menggalakkan proses demokrasi. Namun, dalam masa yang sama, internet boleh menjadi medium penyebaran fitnah  sekiranya ada pengguna yang terus menyalahgunakannya. Fitnah Siber berlaku dan tersebar dalam pelbagai saluran media massa dan elektronik, bahkan ianya semakin berleluasa melalui laman-laman sesawang atau blog serta laman-laman sosial seperti facebook dan twitter.


Fitnah yang dicetuskan tersebar dengan cepat, meluas dan mudah tanpa sebarang sekatan yang akhirnya mencetuskan huru-hara dan ketidakstabilan dalam masyarakat. Punca berlakunya fitnah ini kerana maklumat dari internet dan sistem telekomunikasi seperti khidmat pesanan ringkas (SMS) telah dijadikan sebagai sumber informasi utama masyarakat kita pada hari ini. Seterusnya, sikap mudah menerima berita dan menyebarkannya tanpa usul periksa samaada maklumat yang diterima benar atau sebaliknya. Inilah sikap yang amat ditegah oleh Islam.


Oleh itu, antara langkah yang boleh diambil untuk mengatasi masalah fitnah adalah mewujudkan sebuah badan khas yang menyelenggara atau menapis segala paparan di laman sesawang. Hal ini kerana laman sesawang telah menjadi medium utama pada masa kini untuk menyebarkan fitnah kerana sifatnya yang terbuka dan bebas berbanding media cetak. Apatah lagi konsep kebebasan bersuara dan hak asasi manusia yang diamalkan tanpa sekatan dalam internet itu sendiri membolehkan sesiapa sahaja menghantar atau menyiarkan sebarang maklumat sama ada benar atau tidak. Seandainya sebuah badan penapis atau pemantau diwujudkan, cerita-cerita yang tidak sepatutnya dapat dihalang untuk disiarkan, seterusnya mampu mengurangkan masalah fitnah.


Kesimpulanya, fitnah bukan sahaja banyak membawa keburukan dalam kehidupan bermasyarakat bahkan ianya merupakan dosa besar. Pembuat dan penyebar fitnah disifatkan Islam sebagai sekeji-keji manusia. Fitnah juga berbahaya kepada perhubungan kaum dimana jika fitnah tersebut melibatkan perkauman ia boleh mengakibatkan ketegangan kaum tercetus.


HUKUM FITNAH

  • Fitnah merupakan suatu kebohongan besar yang sangat merugikan dan termasuk dalam dosa besar. Oleh itu, Islam melarang umatnya memfitnah sebab fitnah hukumnya adalah haram.


No comments:

Post a Comment