UNSUR-UNSUR KHURAFAT DALAM FILEM
Khurafat ialah suatu kepercayaan dan perbuatan karut yang dianggap mempunyai hubungan dengan agama Islam sedangkan pada hakikatnya ia sebenarnya dilarang oleh agama Islam kerana bertentangan dengan konsep tauhid dan syariat dalam Islam. Selain itu, hal ini dapat memesongkan akidah kita sehingga boleh mengakibatkan kita menyekutukan Allah.
Antara contoh perbuatan khurafat atau karut yang diamalkan oleh masyarakat kita pada zaman ini ialah mempercayai azimat yang boleh menahan sesuatu bahaya kepada seseorang, mempercayai binatang seperti burung boleh membawa tuah atau sial, membuang ancak bagi menghalau hantu dan mengunjungi kubur yang dianggap keramat. Pada masa kini, kita dihidangkan dengan pelbagai bentuk hiburan termasuklah perfileman yang berunsurkan hantu dan seram. Hal ini tidak kira sama ada melalui media cetak mahupun media elektronik. Pelbagai ciptaan atau rekaan alat-alat komunikasi yang serba canggih turut menambahkan lagi sumber hiburan yang sedia ada.
Namun, bentuk-bentuk hiburan sebegini dapat mengundang kealpaan dan memberi kesan negatif kepada masyarakat. Lambakan drama dan filem yang berunsurkan tahyul, bidaah dan khurafat kini mula mendapat kritikan daripada masyarakat yang prihatin dengan perkembangan ini. Ada yang mula merasai keperluan untuk menghadkan pengeluaran drama dan filem sebegini, kerana dikhuatiri mampu mendatangkan kesan yang negatif kepada masyarakat terutama golongan muda-mudi.
Sehinggakan mantan perdana menteri, Tun Dr.Mahathir sendiri memberi pendapat bahawa lambakan filem dan drama sebegini harus dikaji akan baik buruknya. Antara filem yang mengandungi unsur-unsur khurafat ialah Munafik, Jangan Pandang Belakang, Rasukan Ablasa, Histeria, Syaitan, Maut, Akhirat, Zombi Kampung Pisang, Congkak, Pontianak Harum Sundal Malam, Waris Jari Hantu. Manakala, drama yang berunsurkan khurafat ialah Puaka Niyang Rapik, Anak Betong, Bilik 13, Seram, Susuk, Kliwon, Kekasihku Seru dan banyak lagi.
Ciri-Ciri Khurafat dan Tahayul:
1.Cerita yang berunsur mitos dan lagenda, rekaan, dongeng, khayalan atau kepercayaan karut.
2.Cerita yang tidak didasarkan pada nas-nas syarak sama ada al-Quran atau hadis
3.Cerita berbentuk pemujaan dan permohonan kepada ‘makhluk halus’ bagi tujuan memudaratkan orang lain dan menyeleweng daripada akidah Islam
4.Penggunaan objek-objek tertentu seperti kubur, pokok dan sebagainya bagi tujuan tertentu
5.Cerita yang berunsur negatif dari segi akidah dan syariat Islam
Bentuk-Bentuk Khurafat dan Tahayul
-Kepercayaan kepada keramat seperti kubur, pokok kayu dan seumpamanya
-Percaya kepada nasib sial, seperti adat membuang sial
-Percaya kepada jin dan memohon pertolongan daripadanya, umpamanya adat memuja kampung
-Percaya pada ramalan-ramalan bintang, angka-angka atau rajah-rajah tertentu
-Pemujaan objek-objek tertentu, roh nenek moyang dan kubur.
Hukum Beramal dengan Perkara Khurafat dan Tahayul
-Hukuman yang ditetapkan ke atas pelaku yang percaya kepada amalan khurafat dan tahayul ialah syirik dan bertentangan dengan kepercayaan tauhid.
-Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh al-Bukhari yang bermaksud:
“Jauhilah tujuh perkara yang merosakkan,” “Apakah tujuh perkara itu?” Baginda menjawab: “Menyekutukan Allah, sihir, membunuh orang tanpa hak, makan riba, makan harta anak yatim, lari dari medan perang dan menuduh perempuan baik melaklukan maksiat terkutuk.” (al-Bukhari)
PUNCA TERJADINYA AMALAN KHURAFAT
1.Kejahilan
-Ini adalah faktor utama yang mendorong manusia sanggup melakukan amalan-amalan khurafat dan syirik. Sebab itulah Islam amat menitik beratkan agar umatnya sentiasa meningkatkan keupayaan diri dengan menuntut ilmu. Menuntut ilmu adalah suatu kewajipan atas setiap individu muslim.
2.Kepentingan peribadi
-Bagi mendapatkan sesuatu kepentingan duniawi, manusia sanggup melakukan apa saja walaupun terpaksa menggadaikan aqidah dan agamanya dan terlibat dengan gejala mungkar.
3.Niat yang jahat
-Sesungguhnya di antara hikmah syurga dan neraka ialah adanya manusia yang baik dan jahat yang setiap hari sentiasa memikirkan bagaimana dia ingin merealisasikan niat dan amalannya.
4.Pergaulan
-Faktor ini juga sering menjadi sumbangan penting ke arah terjebaknya seseorang dengan amalan khurafat, seperti ikut kawan meneka nombor ekor dan mengamalkan ajaran "Black Metal".
5.Keadaan sekeliling
-Suasana masyarakat yang tidak mematuhi undang-undang agama juga menjadi factor berleluasanya ajaran Khurafat. Oleh itu faktor ini penting untuk diberikan perhatian serius oleh masyarakat Muslim atau mana-mana organisasi agama agar tidak wujud keadaan sekeliling masyarakat yang mendorong ke arah berlakunya ajaran khurafat seperti di zaman jahiliyyah.
6.Adat kebiasaan
-Faktor ini dikenal pasti sebagai penyumbang utama ke arah berterusannya amalan khurafat dalam kehidupan manusia. Dengan slogan “Biar mati anak jangan mati adat,” anggota masyarakat begitu bersemangat mengadakan amalan khurafat secara berterusan, umpamanya mengadakan upacara menyembah atau menjamu hantu, hulubalang dan semangat roh.
7.Kepercayaan Karut
-Sebelum kedatangan Islam masyarakat kita telah lama menganuti ajaran Hindu dengan kepelbagaian fahaman dan upacara yang karut-marut. Apabila Islam datang menghapus sedikit demi sedikit amalan tersebut.
8.Pengaruh politik
-Untuk mendapatkan kuasa dan kedudukan duniawi yang sementara, manusia sanggup untuk terlibat dengan khurafat, seperti mendapatkan bantuan bomoh-bomoh upahan atau bomoh VIP sebagaimana yang banyak terbentang di dada akhbar. Begitu juga mereka yang terlibat dengan ajaran-ajaran khurafat dan ajaran sesat telah menyelamatkan diri melalui saluran politik (kes ajaran Taslim dan kes ayah Pin di Terengganu).
CARA-CARA MENGATASI AMALAN SYIRIK DAN KHURAFAT YANG MEMPENGARUHI PENONTON DAN MASYARAKAT :
1.PERANAN KERAJAAN
-Mengadakan kempen-kempen kesedaran bahananya amalan syirik dan khurafat terhadap diri, masyarakat, agama dan negara.
-Kerajaan juga perlu lebih banyak mengeluarkan edisi penceritaan tentang
"Amalan Khurafat Dan Syirik " dalam buku-buku agama yang diterbitkan untuk proses pembelajaran supaya anak-anak muda sedar dan menjauhi amalan syirik dan khurafat.
2.PERANAN MASYARAKAT
-Masyarakat Melayu memang terkenal dengan adat-adat resam dan kepercayaan yang menjadi warisan sepanjang zaman. Namun, kita perlu tahu ada diantara adat-adat dan kepercayaan tersebut adalah perbuatan khurafat dan syirik. Kita mestilah menjauhi dan sekaligus menghapuskan adat-adat yang boleh menyebabkan kita menjadi seorang yang musyrik.
3.PERANAN DIRI SENDIRI
-Memandangkan dunia kini semakin moden, alat elektronik memberikan pengaruh yang besar terhadap semua golongan manusia. Jadi, seseorang muslim perlu pandai mengawal dan bukan teknologi yang mengawal kita. Kita perlu pandai menggunakan teknologi dengan betul supaya Allah tidak murka. Sebagai seorang umat islam yang mempunyai pegangan agama yang baik hendaklah sentiasa tegas dan tidak memandang remeh dalam penghasilan filem khurafat ini. Mereka perlulah memastikan tayangan filem mereka tontoni bebas daripada unsur - unsur yang berlebihan dalam filem yang ditayangkan, mereka seharusnya membuat aduan kepada pihak berkuasa seperti FINAS bagi memastikan kegiatan ini dapat dibanteras dengan segera.
KESIMPULAN
-Kita sebagai orang muslim, janganlah sesekali mensyirikkan Allah. Kita juga janganlah melakukan perbuatan khurafat kerana akan menyebabkan kemurkaan Allah. Selain itu, kita juga perlu mencegah perbuatan syirik dan khurafat jika berlaku di hadapan kita.
-Seandainya kita tidak mampu untuk mencegah, kita mampu untuk membenci dengan sesungguhnya ia adalah selemah-lemah iman.
-Kerajaan perlu membuat penapisan setiap filem yang melibatkan amalan agama dan masyarakat sebelum filem itu diterbitkan.
-Menekankan tentang keburukan amalan khurafat dan syirik dalam setiap ceramah dan program di sekolah, IPT, tempat awam, masjid dan lain-lain.
-Kerajaan perlu menubuhkan satu badan khas untuk menangani kes-kes amalan khurafat dan syirik yang semakin berleluasa di negara kita.
No comments:
Post a Comment